Skip to main content

Profil

Pusat Rancangan Kokurikulum (PRK) Kampus Kejuruteraan bermula hanya sebagai Unit Kokurikulum yang beroperasi tanpa pejabat tetap sehinggalah pada bulan November 2007. Penyelaras Unit Kokurikulum pada waktu tersebut, Prof. Madya Dr. Mohd Zailani Abu Bakar telah berjaya meyakini pihak pengurusan universiti berkenaan peri pentingnya Unit Kokurikulum mempunyai pejabat pentadbiran sendiri bagi menyelia dan mengelola kursus kokurikulum berkredit di Kampus Kejuruteraan. Individu-individu lain yang pernah mengetuai Unit Kokurikulum termasuk Prof. Dr. Nor Azazi Zakaria (Mantan Pengarah Kampus Kejuruteraan USM), Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah (Naib Canselor UPM) dan Prof. Madya Dr. Rozi Abdullah.

Pada Oktober 2011, Unit kokurikulum Kampus Kejuruteraan secara rasmi telah dinaiktaraf sebagai Pusat Rancangan Kokurikulum. Kini, PRK Kampus Kejuruteraan diketuai oleh Mejar (K) Dr. Mohd Salman Abu Mansor, PSSTUDM. Beliau telah dilantik selaku Penyelaras PRK Kampus Kejuruteraan bermula dari Mei 2010. Dengan kekuatan 5 warga kerja selain daripada Penyelaras, tugas-tugas pentadbiran & pengelolaan kursus kokurikulum berkredit turut dibantu oleh seorang Pengerusi Rancangan (Sukan & Kebudayaan), Dr. Azam Taufik Mohd Din (bermula Januari 2016) dan tiga orang staf tetap pentadbiran.

Secara purata, PRK Kampus Kejuruteraan perlu mengelola hampir 1000 orang pelajar bagi setiap semester pengajian dengan penawaran kursus berjumlah hampir 25 kursus termasuk PALAPES Darat, Laut dan Udara. PRK Kampus Kejuruteraan juga bertanggungjawab mengelola beberapa kursus MPU terpilih di antaranya Integriti dan Antirasuah (WAR122) dan Asas Keusahawanan (WUS101). Selain daripada itu, PRK Kampus Kejuruteraan juga menyediakan khidmat sokongan Outcome Based Education (OBE) kepada semua Pusat Pengajian Kejuruteraan menerusi penyediaan fail, dokumen dan bukti-bukti aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi tujuan akreditasi serta peningkatan mutu pendidikan secara menyeluruh.